Kanak-kanak sentiasa kebuluran

Teks: Dalila Yusof

Bismillahirahmanirahim..

Assalamualaikum...

Sudah 5 hari anak-anak bercuti. Lapar, lapar adalah satu perkataan yang tak asing lagi meniti dibibir kanak-kanak.  Kanak-kanak sentiasa kebuluran, yelah sekarang kan musim hujan dan cuti sekolah. Sejuk dan aktif bermain, berlari dan memanjat bersama-sama, bekerjasama menyepahkan rumah,  sekejap sahaja perut sudah bermain lagu keroncong dondang sayang.  

Ibu, laparlah.

Tak cukuplah ibu.

Muka kanak-kanak, berkerut menahan lapar. Tangan diletakkan diperut tanda kebuluran yang amat, ibarat satu hari tak makan. Rasanya tadi baru lepas makan. Tak sampai 2 jam, rasanya penat ibu pun tak habis lagi. Kanak-kanak merengek lagi minta biskut kali ini.

Tersengih-sengih melihat ibu, membuat biskut. Gigih ibu tanya blogger-blogger yang rajin menempek resepi biskut di blog. Tak kurang juga ibu lihat resepi di facebook. Nasiblah nak, ini zaman ramai yang rajin memberikan ilmu. Itu pun dah berjam-jam ibu google resepi ikut bahan di dapur. Nasib ada, alamatnya, tak siaplah biskut ibu.  Apabila adunan biskut sedang dibakar dalam oven, tak sampai 5 minit minta keluarkan. Katanya dah siap. Aih, sungguh tak sabar.

" Ting !"

Oven berbunyi. Kanak-kanak bergegas lari, menghulur pinggan ditangan. Berebut-rebut nak merasa biskut panas dalam oven. Separuh adunan masuk peti ais dahulu. Takut pula, bapak budak kempunan biskut coklat ini. Perangai kanak-kanak, selagi ada selagi tu dikunyah.


"Em, sedap ibu masak. " Aisyah dengan gaya manja dan membodeklah tu. 

Ibu hanya tersenyum, sambil kunyah biskut konon  merasa, sedap atau tidak. Haih, gemuklah ibu, anak-anak ada di rumah. 


Ulasan