Myfreecopyrightv

ds

iklan lazada

Lazada Malaysia

Isnin, 29 Februari 2016

Kait kotak tisu bunga matahari

Teks: Dalila Yusof
Bismillahirahmanirahim...


Assalamualaikum, hari ini mahu berkongsi projek kotak tisu lagi. Kotak tisu ini saya hadiahkan kepada pengantin baru supaya berseri rumah mereka dengan kotak tisu kait saya. Suka atau tidak belakang cerita janji, kita ikhlas bagi sambil-sambil itu boleh gilap kemahiran mengait jadi makin bagus. 

Warna kuning bercampur dengan putih, saya letak sekali bunga matahari penambah seri. Rasa ketagih pula nak buat lagi, insyaallah nanti saya dah kait saya kongsi lagi ya. Ada masa insyaallah saya cuba tunjuk cara saya buat. Ilham kotak tisu ni saya belajar daripada theroyalsisters, tak lah 100 % ikut, sebabnya jenis benangnya tak sama jenis, kena pandai juga membeganya bagi nampak cantik dan sesuai dengan benang kita. okey, sekian itu, sahaja. Nanti saya update lagi.




Promosi ebook bulan Feb ini.


Bagaimana mahu berkerja dari rumah dengan hanya berblogging, maklumat lanjut di sini 

Selasa, 23 Februari 2016

Mengait Bunga Carnation

Teks: Dalila Yusof
Bismillahirahmanirahim...


Assalamualaikum dan selamat pagi, alhamdullilah dah siap satu kuntum bunga carnation la pula untuk sample bunga telur. Juling mata nak pilih, akhirnya pilih bunga tulip juga. 

Bunga carnation ini juga mudah patennya tak payah nak pening ingat banyak sangat langkah-langkah nak buatnya. Siap tak sampai satu hari, kalau sudah mahir boleh siap 2, 3 kuntum untuk satu hari. Rasa-rasanya berangan nak buat satu bunga hiasan di rumah menggunakan bunga carnation ini. Ala-ala macam dalam gambar berikutnya, tak pe kita berangan la dulu, la..la..


Tutorial penuh bunga ni boleh tengok dalam clube do croche, banyak juga idea yang menarik dalam fanpage ini. Terbuntang biji mata melihatnya. Mulalah resah nak buat kait bunga. Kita fokus dulu ya, nanti  semua terbengkalai. 


Ilham bunga carnation ini saya ambil daripada youtube Sheruknitting, mudah difahami dan bunganya pun nampak kembang. Suka melihatnya, bolehlah nak buat sejambang bunga untuk hiasan rumah, bosan juga kalau asyik nak kait bunga ros sahaja kan, bak kata mak saya. 


Maaf gambar tak berapa jelas, handphone pun nazak masuk mesin basuh hari tu, nasib boleh guna lagi. Keringkan dalam tong beras selama 5 hari, itu pun masih tak berapa elok. Harap ada rezeki nak tukar baru. Ada 2 kelopak bunga berasingan yang perlu dikait, apabila dicantum dengan jahitan  itu yang membuatkannya nampak kembang. 



Gamkan pada lidi kemudian lilitkan dengan pita hijau, menyerlahkan lagi seri bunga ini. 


Tambahkan daun di bawahnya, sudah siap.

Tutorial daunnya: 

Saya gunakan benang warna hijau dengan jarum kait 2.5 mm. Mula-mula kait 26 chain, kemudian slip stitch pada chain ke 2, kemudian slip stitch pada chain berikutnya. Single crochet pada chain seterusnya, kemudian slip stitch pada 2 chain terakhir. 

Kait pada chain yang bertentangan, slip stitch pada 2 chain pertama, kemudian single crochet pada chain seterusnya berhenti pada 2 chain terakhir. Slip stitch setiap satu chain pada 2 chain terakhir. 






Lilitkan pada hujung daun untuk tutup hujung daun, jangan lupa selit-selitkan hujung benang pada daun supaya nampak daun kemas dan cantik. Lilitkan pada batang bunga, saya buat dua helai daun, terpulang nak buat berapa daun.  Barulah berseri-seri bunganya. Nanti saya kongsi lagi projek yang saya buat ya. 





Promosi ebook bulan Feb ini.



Bagaimana mahu berkerja dari rumah dengan hanya berblogging, maklumat lanjut di sini 

Isnin, 22 Februari 2016

Mengait bunga tulip percubaan pertama

Teks: Dalila Yusof
Bismillahirahmanirahim...


Assalamualaikum dan selamat sejahtera, semalam saya fokus mengait bunga tulip untuk dibuat sample bunga telur. Mula-mula terasa sukar sahaja, sekali sudah siapkan sekuntum seronok pula.

Saya pakai jarum kait 2.5 mm dan menggunakan benang kait nona sahaja. Patennya mudah dan tak ambil masa lama jika sudah mahir dan pantas mengait. Orang yang pertama kali mengait boleh sahaja belajar, bagi saya tak pening kepala dengan paten begini. Tak perlu banyak yang perlu kita ingati. 



Ilham bunga tulip ini saya ambil daripada blog craftideas. Ada banyak tutorial bunga tulip di internet, tapi yang ini paling ringkas dan mudah diikuti. Bagi saya asalkan jadi.  Bagi yang baru berjinak-jinak dalam mengait boleh sahaja tengok tutorial di youtube daripada HappyBerry Crochet. Mudah diikuti dan ada tutorial untuk cara buat daunnya sekali. Daunnya kalau nak keras dan mudah dibentuk perlu diselit dengan dawai. Insyaallah ada masa saya tunjukkan ya. 

Setakat ini sahaja catatan saya nanti saya kongsi lagi projek baru saya. Tinggal sebulan lebih untuk membuat persiapan bersalin, harapnya saya boleh merempit menyiapkan projek kait tak banyak sikit pun jadilah. Doakan saya ye : ). 



Promosi ebook bulan Feb ini.


Bagaimana mahu berkerja dari rumah dengan hanya berblogging, maklumat lanjut di sini 

Ahad, 21 Februari 2016

Gilap kemahiran kita sehingga memancar-memancar

Teks: Dalila Yusof
Bismillahirahmanirahim...


Assalamualaikum dan selamat petang, hampir 2 hari menyiapkan sarung kotak tisu. Ku fikir mudah membuat cara begini, rupanya tetap sukar. Alhamdullilah menjadi juga, kali pertama nak lakukan projek kait memang terkial-kial walaupun sudah mahir dalam asas mengait. Perlu buat banyak-banyak barulah lekat dalam minda separa sedar ini.





Saya baru sahaja habis menelaah ebook percuma Jana Wang Dari Rumah yang boleh dimuat turun dari laman web ini secara percuma. Salah satu imput yang memberi kesan pada diri saya adalah bab '5.6 Apa kepakaran anda'. 



"5.6 Apa kepakaran anda? 

Tumpukan kepada minat yang membuatkan anda leka melakukannya. Jika minat menjahit lakukan bersungguh-sungguh sehingga sudah boleh menerima tempahan membuat baju kurung. Ebook Percuma – Panduan Bekerja Di Rumah | www.janawangdirumah.com Sepasang baju kurung sekarang sudah mencecah RM50 sepasang. Satu hari anda sudah dapat menyiapkan satu pasang. Maknanya 30 hari sudah 30 pasang. RM1500 sudah terkumpul dalam sebulan. Itu jika anda buat secara sampingan dan mensasarkan hanya 1 pasang sahaja sehari. Dengan wang RM1500 anda sudah boleh membeli peralatan menjahit dan juga mesin jahitan. Apa yang penting anda perlu fokus hanya menjahit baju kurung sahaja hingga anda mahir dan sudah tidak ada cacat cela."




KIta perlu memahirkan kemahiran yang ada pada kita, misalnya saya suka sangat dengan mengait, mampu memberi ketenangan di jiwa. Maka, saya perlu asah kemahiran kait sampai saya mampu menjual hasil kaitannya. Penat nak mulakan sampai siap, tak usah katalah. Tapi lama-lama, kita sudah biasa kita takkan terasa penat, seronok pula dapat. Biasanya kalau kita suarakan dengan orang lain. Mereka menasihatkan kita supaya jangan bermimpi, tak mungkin kita boleh lakukan. Apa yang benar-benar suka dengan ABDR mereka sangat menggalakkan kita melakukan apa yang kita minat hingga berjaya. 

Tak usah mengharap sokongan orang, sokong diri dahulu, baru orang sokong kita. Bagaimana? Tambahkan pengetahuan dalam kemahiran yang kita minati, berlatih setiap hari sampai kita benar-benar pakar dalam hobi kita. Orang tak mampu nak asah bakat kita, kitalah yang mampu melakukannya dengan usaha yang bersungguh-sungguh sampai berjaya! 




Promosi ebook bulan Feb ini.


Bagaimana mahu berkerja dari rumah dengan hanya berblogging, maklumat lanjut di sini 

Selasa, 16 Februari 2016

Kait brooch bunga ros

Teks: Dalila Yusof
Bismillahirahmanirahim...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera, sudah memasuki pertengahan bulan 2, tak lama lagi nak menyambut puasa. Pengalaman lalu, jadikan pengajaran, tak sempat nak kait cekak, beg dan jahit baju raya. Bulan puasa sebenarnya lagi sibuk, jadi kita mulakan projek raya sediki demi sedikit. Nanti puasa taklah terlalu tertekan lagi dengan ibadat puasa, nak buat kuih raya lagi.

Sejak semalam lagi saya sudah mula mengait brooch raya, almaklumlah zaman gawat ni kenalah banyakkan buat sendiri, supaya jimat dan cermat. Anak-anak pun ramai, nak membeli tak mampu. Jadi saya banyak buat sendiri sahaja aksesori anak dengan menggunakan  kemahiran mengait dan jahit. Anak saya semuanya perempuan, aksesori haruslah banyak. Barulah nampak manis si anak dara.


Nota bunga rose kait ini ilham daripada fiberfluxblog untuk subang telinga sebenarnya tapi saya buat untuk 'brooch'. Boleh juga kalau nak buat untuk  klip rambut anak-anak. Senang sahaja, sangat sesuai

Bahan yang diperlukan:



  • 2 warna Benang lebihan projek (hijau dan maroon). 
  • Jarum tulip no. 2
  • Gunting
  • Jarum jahit. 

Cara-caranya: 

a) Bahagian bunga

1. Dengan menggunakan warna maroon, mulakan mengait 6 chain (tali air). 

2. Kaitkan 1dc pada chain ke 2, kemudian kaitkan 1 dc pada chain yang sama. Kaitkan 3 dc pada  setiap chain dan hingga chain yang terakhir. Matikan benang.





b) Bahagian daun

1. Mulakan dengan mengait ch 4 dan sambungkan pada chain yang terakhir dengan  slipstitch untuk membentuk satu bulatan.

2. Kaitkan (6 dc, 4 sc, 1 tr, 4 sc) di tengah bulatan. 

3. Sambungkan dengan slip stitch pada akhir kaitan dan matikan benang, 






c) 
Cara cantuman bunga dan daun. 

Gulungkan bunga  dan jahit bunga di bahagian bawahnya. Letakkan bunga di atas daun dan jahit sekali. Sudah siap boleh jahit atau gamkan pada brooch atau klip rambut ikut kreativiti anda. 



Sudah siap bolehlah suruh model bergaya dengan comelnya.


Promosi ebook bulan Feb ini.




Sabtu, 13 Februari 2016

Buat dahulu, kekemasan kemudian

Teks: Dalila Yusof

Bismillahirahmanirahim...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat pembaca sekalian, hari ini saya mahu berkongsi pengalaman menjahit baju dan mengait beg yang saya belajar menggunakan internet. Sukar sebenarnya, tapi kuatkan semangat gara-gara nak berjimat cermat di waktu gawat ini. Seronok menghasilkan baju dan aksesori, dan anak amat gembira memakainya. Kadang-kadang rasa menyesal timbul, gara-gara tak belajar menjahit dan mengait waktu sebelum kahwin dan belum beranak pinak. Tapi kalau anak tak berderet masakan berusaha nak belajar mengait dan menjahitkan, he..he.. Semuanya dibeli, iyalah duit masih banyak, berjoli tak sedar dirilah.Satu hari nanti saya akan ajar anak-anak menjahit juga, cuma kesabaran masih belum lagi tebal, ajari dulu membaca dan mengeja. Sudah pandai baru beralih ke kemahiran hidup pula.

Zaman internet ini, membuatkan surirumah tak bosan di rumah, selepas kahwin barulah saya tahu betapa penting internet di rumah. Suami banyak kali mengingatkan supaya guna kepada perkara berfaedah sahaja. Iya, saya sudah buktikan banyak juga baju saya jahit. Walaupun hakikatnya senget benget. Tapi, terharunya anak-anak memakai dengan rasa teruja.

Namun, kelemahannya belajar di internet lambat nak siap. Terkial-kial, men'google' apa yang kita tak paham. Misalnya, cara nak buat kolar bajulah, nak buat lubang butanglah. Anak-anak masih kecil, jadi sukarlah nak ke kelas kemahiran dan meninggalkan anak-anak. Siapa sangka hobi mengait saya hanya menuntut ilmu daripada blogger-blogger kait yang jauh di seberang sana. Ada yang daripada Rusia, Amerika, Jepun dan banyak tempat lagi hanya melalui internet. Tapi harap faham, pertama kali kita lakukan tak mungkin sekemas dalam blog yang kita lihat. Nampak sahaja mudah, tapi hasilnya tak sama, perlukan latihan berganda-ganda. Bukannya sekali sahaja sudah berjaya.

Sekian bebelan hari ini. Nanti saya tulis lagi ya.


Iklan-iklan:

Promosi ebook bulan Feb ini.




Isnin, 1 Februari 2016

Projek kait 2015 hingga kini.

Teks:Dalila Yusof
Bismillahirahmanirahim...

Blog saya sudah bersawang lebih 3 bulan, jadi hari ini saya mula sapu-sapu sawang di blog. Ada projek yang saya lakukan walaupun senyap di blog. Antaranya, mengait topi sebagai hadiah untuk harijadi anak buah, mengait sarung teko untuk perhiasan, hadiah buat mak mertua dan juga menyiapkan tempahan penanda buku untuk seorang rakan blogger. Menulis ini umpama hobi mengait, perlu diasah setiap hari, kalau tak tumpullah kemahiran menulis ini nanti.

Hari ini saya kongsikan beberapa projek yang saya siapkan dalam tempoh mendiamkan diri tahun lepas. Apa yang saya pelajari tahun lepas, cukup bermakna buat saya. Jangan ditanya lagi bagaimana nak menjadi penulis hebat, kalau tidak mahu berlatih setiap hari. Kita bukan dalam dunia magik, hanya minta kemudian jadilah. Berdoa dengan Allah s.w.t juga perlukan usaha.

Mungkin dalam dunia filem, semuanya nampak mudah, berusaha kemudian berjaya. Tapi hidup tak semudah itu, semua cabaran, kesakitan dalam mengejar dan mencapai impian kita, sangat penting diterima dan redah sahaja. Daripada situlah, kita membina diri kita yang kuat dan faham dengan diri dan semakin mahir dalam menempuhi hidup yang makin sukar.

 Satu  lagi, jangan leka duduk di rumah, kerana kita rasa kita banyak masa, sebagai surirumah. Kita perlu uruskan anak-anak yang banyak karenah, sudah tentu sukar untuk diatur jadualnya. Kadang-kadang, ada sahaja perkara yang perlu diselesaikan dan tidak mengikut rancangan kita. Ada juga karenah-karenah manuasia yang tak faham dengan kerja kita di rumah. Itu semua cabaran yang perlu kita uruskan dengan baik jika kita mahu berjaya bekerja dari rumah. Tapi, bekerja dari rumah sebenarnya melatih diri kita meluangkan masa dengan anak walaupun sesibuk mana pun kita dengan perniagaan dan juga menguruskan masa yang sangat sedikit. Biasanya kita makin banyak idea menguruskan anak-anak apabila kita teruskan juga untuk berbisnes di rumah sambil menjaga anak. Permulaan mungkin sukar, lama-lama kita rasa makin mudah. Inilah kita katakan zon kurang selesa surirumah, kelamkabut menguruskan anak-anak dan rumah tangga sambil bekerja dari rumah. Tak selesa, tapi di sini kita belajar merangkak-rangkak membina kerjaya dari rumah tanpa meninggalkan anak-anak yang sedang membesar memerlukan perhatian daripada kita.

Cukup sampai di sini sahaja luahan hati saya ya. Mari saya, tunjukkan projek-projek yang lakukan penghujung tahun 2015. Saya kini sarat mengandung anak ke 4, alahan dan kepenatan kadangkala membuatkan saya mengalah. Tapi , kerana anak-anak saya perlu kuat juga menghadapi hidup yang sukar ini. Kalau saya tak kuat, mana mungkin anak-anak juga memiliki kekuatan lebih daripada saya.
  • Topi kait 
Ini salah satu projek yang saya buat khas untuk harijadi anak buah saya. Topi ini cepat disiapkan kerana saya guna benang nona yang dilapis dua dan menggunakan jarum besar, 5 m.m . Tak sampai 2 hari sudah siap dua topi untuk si kembar yang comel. Suka betul si kecil dapat topi baru, sengih sampai nampak gigi lagi. Ini paten saya belasah sahaja janji siap. Biasanya kalau banayak berfikir kerja tak menjadi.
  • teko mini cozy 

Teko ini saya kait khas untuk harijadi mak mertua. Siap dengan penuh kelamkabut satu hari, mula-mula nak buat beg, sekali beg boleh dikatakan mengambil masa lama juga nak disiapkan. Jadi timbul pula idea nak siapkan teko cozi ni, cukup sesuai dijadikan perhiasan di rumah. Ilham datangnya daripada blogger dragonfly. Pelbagai idea menarik di sini, seronok dengan blog berinfomasi seperti ini. 


  • Penanda buku bunga. 
Alhamdullilah, penangan ABDR saya dikenali dengan kait melalui niche blog Panduan Seni Mengait. Tempahan daripada seorang novelis  tanah air juga merupakan guru online di ABDR, Puan Monalita Mansor. Jemput singgah ke blog beliau, jangan segan-segan berhubung dengan beliau jika mahu menjadi penulis novel ya. Beliau merupakan pengajar penulisan kreatif, beliau juga berkongsi pelbagai informasi bagaimana menulis dengan baik di blog. Jangan lupa jenguk-jenguk di blog beliau. 

Beliau menempah 50 keping  penanda buku bunga untuk novelnya untuk 50 pembeli terawal. Harap pembacanya suka dengan hasil kait saya. Penanda buku ini hasil inspirasi daripada blogger Bautawitch. Saya sangat sukakan tutorialnya mudah difahami dan dipelajari. 



Terdapat pelbagai idea menarik tentang paten kait yang boleh digunakan secara percuma di internet. Memang berbaloi kalau dicuba, kita yang baru bermula mengait ini jangan lepaskan peluang belajar dan terus belajar mengait, sampai cantik dan kemas. Mula daripada kosong kemudian kita maju setapak demi setapak. Cuma jangan  berhenti menapak nanti perlu mula daripada kosong lagi.

Ok setakat ini sahaja jumpa lagi. 










Saling sokong menyokong

Teks: dalila Yusof Bismillahirahmanirahim.. Saling sokong menyokong Kehidupan di dunia, sangat memerlukan kita bekerjasama untuk menda...