Tips ajar anak ke tandas.

Teks: Dalila Yusof
Bismillahirahmanirahim...



Assalamualaikum dan selamat pagi. Hari ini sudah masuk hari ke tiga Sakinah belajar ke tandas, sangat mencabar dan memenatkan. Hari pertama, prosesnya sangat meletihkan, baju yang menimbun dan hancing, rumah terabur tak boleh dikata apa. Apatah lagi, kadang-kadang Sakina buang air besar merata-rata, yang paling seronoknya dia akan buang air besar dahulu baru cakap nak buang air besar. Tempat strategik untuk berak adalah pejabat kecil babanya, hari pertama bbuang air besar depan pintu. Hari kedua buang air besar, hampir sedikit lagi nak mengenai permukaan permaidani. Kalau tidak mahu jenuh menyental permaidani baba. Sudahnya tak tahu nak sidai di mana, apa taknya duduk di pangsapuri yang tidak mempunyai balkoni.

Apabila dikaji kembali, rupanya selalu beritahu Kina hanya kencing di tandas. Lupa pulak nak beritahu buang air besar pun sepatutnya di tandas. Dan selalu suruh dia yang pergi ke tandas, tak lakukan seperti Sarah dahulu, setiap 10 atau 20 minit ajak pergi ke tandas. Sakina pula, memang agak berpendirian tegas, kalau A mesti A, tidak boleh berkrompomi. Ada sahaja alasan yang diberikan, nak mainla, nak buat kerjala kadang-kadang boleh menjawab "tak boleh, mana boleh", "aku tak sukalah". Geram tengok perangai nakalnya kadang-kadang fikir balik boleh tergelak.  Itu salah satu faktor kencing dan berak berterabur, sabar sahajala.

Semalam, Sakinah sudah menunjukkan sedikit kemajuan, sudah pandai memberitahu hendak ke tandas, dan kencing di tandas. Sesuatu yang melegakan, maksudnya sudah membuahkan hasil. Walaupun, selepas itu, masih terkencing dahulu baru beritahu. Selalu berkata kepada Kina, kencing dan berak hanya di tandas supaya masuk dalam minda separa sedarnya. Supaya kata-kata tersebut jadi program dalam otaknya. Mungkin mengambil masa seminggu atau lebih yang penting bersabar dengan karenah anak. Letih memang tak terkata, itu adalah proses kehidupan apabila kita beralih daripada zon selesa ke zon kurang selesa memang banyak kegagalan yang perlu ditempuhi. Tapi kesabaran adalah kunci setiap kejayaan.

Teringat sewaktu mengajar Sara ke tandas, hari pertama sudah kencing di tandas. Namun tidak sampai 30 minit sudah kencing di lantai. Hari kedua, Sara menangis nak pakai pampers, mengadu dan merengek dengan baba, nasib baiklah baba tak makan kuasa tangisannya. Hari ini sudah tidak perlu ke memakai pampers walaupun tidur siang kecuali waktu tidur malam.  Terasa kepenatan dahulu berbaloi dan seronok anak sudah pandai ke tandas.

Panduan mengajar anak ke tandas.

Mengajar anak sesuatu yang baru perlu langkah demi langkah, usah terburu-buru semuanya perlu cepat. Namun hasilnya tidak menentu yang penting sabar kerana anak perlu selesa dengan pelajaran baru. Setiap kanak-kanak berbeza walaupun anak sendiri. Setiap anak berbeza cara penerimaannya, maka perlu faham dengan karenah anak. Jika dilihat anak saya, Sara agak cepat penerimaannya kerana mudah menerima arahan terutama jika tiada orang lain selain ibunya. Tidak sampai seminggu sudah pandai ke tandas walaupun kadang-kadang masih terkencing di luar tandas.  Namun, tidak pula Sakina kerana banyak membantah dan pandai menjawab. Mungkin mengambil masa lebih daripada seminggu.
  
Langkah pertama

  • Sila simpan segala permaidani yang terdapat dalam rumah, memang pada peringkat awal anak akan buang air merata-rata.  Jadi, jangan menyesal tak sudah apabila anak buang air atas permaindani anda yang cantik terutama yang baru beli.
  • Jangan pakaikan pampers pada waktu siang supaya anak terbiasa dengan keadaan tidak memakai pampers. Langkah ini dianggap sebagai paksaan lembut supaya anak tahu yang dia perlu kencing ke tandas. 
  • Banyakkan bersabar, jika tidak mampu menahan marah, minta maaf dan terangkan  pada anak supaya dia faham kenapa kita memarahinya. Banyakkan selawat supaya kita sentiasa tenang dalam menghadapi cabaran baju yang menimbun, hancing, najis bersepah-sepah dan kepenatan mengemop rumah. 
  • Sentiasa bawa anak ke tandas, pada waktu permulaan 10- 20 minit. Bergantung pada anak anda, kebiasaanya perempuan lebih kerap ke tandas berbanding lelaki.Ajari anak ke tandas sejurus dia minum susu atau air. 
  • Sentiasa tanya anak jika dia ingin ke tandas. Walaupun letih, supaya anak dan kita terbiasa dengan situasi kerap ke tandas. 
  • Jika gagal dan najis bertaburan, beritahu anak berulang kali, anak perlu buang air di tandas. Beritahu sekali sahaja larangan buang air di lantai, kemudian beritahu berulang kali anak perlu ke tandas jika mahu buang air. Ini penting supaya kita boleh programkan otak anak supaya dapat memahami arahan kita. 
  • Sediakan banyak-banyak kain buruk pakai buang supaya boleh lap najis sebelum cuci dan mop seperti biasa.

 Langkah ke 2
  • Pada peringkat ini anak sudah memahami latihan ke tandas, cuma kadangkala perlu berwaspada dengan tingkah laku anak yang menunjukkan anak ingin kencing atau berak. kadangkala, anak leka bermain, lupa untuk ke tandas. Alamatnya, habis bertaburan di lantai. 
  • Perlu sentiasa bertanya samada anak ingin ke tandas. 
  • Ajak anak ke tandas jika sudah lama tidak kencing. 
  • Jika anak kerap minum air, pastikan anak sentiasa ke tandas. 
 Langkah ke 3
  • Peringkat ini, anak sudah pandai mengawal kencing. Sekarang anda boleh mengajar anak tidur siang dan keluar rumah tanpa pampers. Sara sudah berjaya melepasi tidur siang tanpa pampers. Setakat ini tidak pernah kencing atas tilam. 
  •  Ajar anak kencing terlebih dahulu, sebelum tidur dan berjalan naik kereta. 
  • Jika anak tidur siang melebihi 2 atau 3 jam , kejut dan angkat bawa ke tandas untuk kencing. 
  • Jika pulang ke kampung atau dalam perjalanan yang jauh pastikan singgah di mana-mana perhentian dan bawa anak ke tandas untuk kencing.
Langkah ke 4
  • Langkah seterusnya, ajari anak tidak memakai pampers pada waktu malam.Pada waktu ini anak sudah mahir mengawal pundi kencing dan sudah selesa tidak memakai pampers pada waktu siang. 
  • Pastikan anak buang air kecil sebelum tidur. Jika anak tertidur masa menyusu, angkat dan bawa anak ke tandas untuk buang air kecil. 
  • Lebih kurang 2 atau 3 jam selepas itu, kejut anak dan bawa ke tandas untuk kencing. 
Anak Buang Air Besar
  • Buang air kecil tiada masalah, namun buang air besar memang sukar untuk dilatih. Kadang-kadang ada anak yang rela buang air besar dalam seluar berbanding dalam tandas. 
  • Jadi, ibu wajib bijak dan pada peringkat permulaan ini perlu sentiasa bersama dan berada disamping anak untuk waspada dengan tingkah laku anak, menunujukkan reaksi menahan buang air besar atau sebarang reaksi menunjuk ke arah tersebut.
  • Bagi kata-kata peransang, elak marah anak  jika gagal buang air besar di tandas. Beritahu berulang kali bahawa dia mampu lakukan, sudah dewasa dan dan pandai buang air di tandas. Jika tidak selesa di tandas duduk, ajar anak buang air besar di lantai buat permulaan ini, sudah pandai barulah buang air besar di tandas duduk.
Beberapa Tip untuk ibu. 
  • Banyakkan bersabar. Banyakkan bersabar, jangan sesekali putus asa dengan karenah anak. Adatla orang baru belajar hidup banyak buat silap.  Kesilapan itu, akan mengajar anak menjadi matang. Biarkan anak mengambil masa untuk memahami apa yang kita ajar. Pada masa yang sama, berikan galakan dan dorongan yang beterusan agar anak yakin pada dirinya. Jika terkeluar jugak amarah, cepat-cepat mohon maaf pada anak, terangkan kita sayang pada dia dan mahu dia pandai  dan cepat belajar. Elakkan daripada memaki anak-anak dengan kata kesat dan gantikan dengan kata-kata positif yang mampu mendorong anak jadi pandai. 
  • Programkan otak bawah sedar anak. Sentiasa beritahu anak berulang kali, anak perlu buang air kecil dan besar di tandas sahaja. Beri galakan bahwa dia sudah dewasa dan jika mahu ke sekolah, perlu pandai buang air kecil dan besar di tandas. 
  • Beri ganjaran. Jika sudah pandai ke tandas, belikan seluar dalam yang bercorak kartun dan menarik. Jika mampu belikan potty training yang menarik dan berwarna warni untuk menarik minat anak ke tandas. 
  • Sentiasa berada disamping anak. Buat permulaan ini, ibu perlu sentiasa disamping anak untuk berwaspada dengan tingkahlaku anak yang menunjukkan tanda-tanda ingin buang air. Pastikan memasak masakan yang ringkas dan sentiasa pastikan anak berada dengan kita dimana sahaja kita lakukan kerja supaya ibu tahu jika anak ingin buang air atau tempat anak membuang najis. Penting supaya mudah ibu membersihkan najis atau mudah ibu segera membawa anak ke tandas. 
  • Jika ibu bekerja. Latih anak pada hujung minggu dan boleh teruskan di rumah pengasuh. Beri penerangan kepada pengasuh untuk membantu melatih anak ke tandas.  Sila hadkan bilangan pampers yang diberi kepada pengasuh, supaya anak cepat belajar. Jika berjaya berilah sedikit penghargaan berupa hadiah kepada pengasuh, bukan mudah untuk melatih anak anda. Walaupun anda memberinya upah, sebenarnya tidak setimpal dengan penat lelah membesar dan mengasuh anak anda yang bermacam ragam.  

Jana wang melalui blog di Akademi Bekerja Dari Rumah

Ingin selesa berjalan jauh, sewa kereta MPV dan Hiace
 
Rujukan:

http://www.dailymontessori.com/self-development/toilet-learning-vs-toilet-training/
http://farahwahida22.blogspot.com/2011/03/mengajar-anak-menggunakan-tandas-potty.html


Ulasan