Khamis, 13 Februari 2014

Panduan Menghadapi Tekanan Bagi Surirumah Moden Bah 1.


Panduan Menghadapi Tekanan Surirumah Moden Bahagian 1
Teks: Dalila Yusof
Bismillahirahmainrahim....

Adakalanya  menjadi surirumah sepenuh masa agak mencabar terutama yang mempunyai ijazah tinggi. Masih ramai yang yang mendapat tentangan keluarga terutamanya daripada keluarga khususnya ibu bapa. Namun bagi wanita itu sendiri, tidak perlu lagi memilih antara kerjaya dan anak. Tiada apa yang lebih mengembirakan melihat setiap perkembangan anak di depan mata. Namun masih ramai yang bertanggapan surirumah banyak masa dan hanya goyang kaki.  Namun hakikatnya tidaklah seperti yang digambarkan kerana surirumah menghadapi banyak konflik dalaman dan luaran dalam menghadapi kehidupan seharian.

a) Konflik dalaman.

1. Kesunyian.
Sumber: http://speaktoshadow.blogspot.com/

Kita sering dihantui rasa sunyi kerana tidak berpeluang keluar bersosial dan tidak bebas melakukan aktiviti fizikal seperti orang lain. Kadang kala kepala kusut memikirkan pelbagai masalah yang timbul berbanding jika bekerja masalah boleh dilupakan sebentar. Masalah dengan anak-anak yang pelbagai ragam. Seharian berada di rumah,  jiwa terasa kosong, otak pun terasa beku dan tepu. Keyakinan diri dan kemahiran sosial juga, semakin terhakis kerana hidup terasing dan hanya berkisar dengan sekitar tempat tinggal.
Jika bekerja mempunyai ramai rakan untuk berbual dan bertukar fikiran. Malahan, jika surirumah menceritakan kepenatan dan  pelbagai masalah yang timbul, tidak semua dapat memahami malah menekankan betapa pentingnya makan gaji.

2. Rendah diri.
Kita juga berasa rendah diri bila berhadapan dengan rakan-rakan yang berkerjaya dan berjawatan tinggi. Mereka sangat bergaya mengenakan mekap dan fesyen-fesyen terkini. Seharian berada di rumah mana mungkin berpeluang mengenakan fesyen-fesyen terkini lantaran bergelumang dengan najis dan muntah anak. Malah, dengan perbelanjaan yang cukup ketat dan hanya bergantung pada satu sumber mana mungkin mampu membeli barangan mekap dan baju yang cantik.

3. Karenah anak-anak 
Sumber: http://thehoopla.com.au/

 Adakala terasa seperti pecah kepala apabila anak-anak yang super nakal meneraburkan mainan mereka sesudah penat mengemas rumah. Kadang-kadang tertekan dengan karenah anak-anak yang suka bergaduh dan kuat menangis semata-mata untuk menuntut perhatian. Apatah lagi berhadapan dengan muntah dan najis anak-anak setiap hari. Ah...Kesemuanya menuntut kesabaran yang teramat tinggi. Namun, apabila disuarakan pada suami, suami mengingatkan betapa beruntungnya saya dapat menjaga dan melihat sendiri perkembangan anak-anak di depan mata. Jika dibandingkan dengan perempuan yang bekerja di luar sana yang sering bimbang anak dijaga oleh pengasuh yang belum tentu terjaga makan minumnya.

4. Tiada masa untuk diri sendiri. 


Sumber: http://www.beniceorleavethanks.com/2012/04/24/when-i-showed-my-husband-the-what-do-moms-do-all-day-picture/

Adakala dek kerana kepenatan yang melampau, surirumah akan mudah jatuh sakit. Namun tetap juga menggagahkan diri memasak dan melayan karenah anak-anak yang pelbagai ragam. Kanak-kanak riang sentiasa ingin mengikut ibunya ke mana sahaja, memasak, mengemas, hatta ke tandas sekalipun, ibarat rombongan cik Kiah lagaknya. Masuk juga walaupun busuk atau wangi janji bersama ibu sahaja.

b) Konflik luaran.

1) Tekanan daripada ibu bapa.  
Ibu bapa sentiasa risau jika anak mereka menghadapi kesusahan hidup. Mereka seringkali ingin yang terbaik untuk anak mereka. Mereka sering menekankan betapa susahnya hidup jika bergantung pada satu sumber pendapatan iaitu bergantung kepada si suami sahaja. Perkara ini sering dipersoalkan terutama jika bertemu. Bukan tak terfikir cuma tak sanggup membayangkan anak berjauhan dan ditinggalkan bersama pengasuh yang belum tentu terjaga makan minumnya.

2. Persepsi Masyarakat Sekeliling
Masyarakat sering mentafsirkan menjadi surirumah sangat merugikan dan tidak dapat 'apa-apa'. Mereka mendefinisikan 'apa' itu dengan jumlah pendapatan dan kejayaan dalam kerjaya. Persepsi ini timbul kerana masyarakat kini cenderung mengukur segalanya dari aspek material, sehingga menutup sebelah mata manfaat yang diperolehi jika si ibu sendiri yang menjaga dan mendidik anak-anak mereka. Apa yang mereka fahami konsep bekerja menjurus kepada makan gaji yang mempunyai pelbagai faedah seperti epf, kemudahan meminjam di bank dan sebagainya. Jika  mereka faham, tiada istilah rugi menjaga anak sendiri.

3. Tekanan Kewangan. 
Apabila bergantung pada satu sumber sahaja, kita tidak boleh membelanjakan duit sesuka hati. Banyak lagi benda yang perlu diutamakan dengan wang yang dikira terhad. Kadangkala sedih apabila tidak dapat menuruti permintaan anak-anak inginkan permainan. Apatah lagi mempunyai kelayakan yang membolehkan kita keluar mencari duit tanpa perlu bergantung pada suami. Kesemuanya harus disandarkan kepada suami seorang. Sedangkan suami mensyaratkan boleh bekerja namun anak-anak perlu saya jaga dan didik sendiri. Adui bagaimana ya...

Ambil sedikit sahaja masa untuk bersedih. Jika difikirkan tekanan yang menggasak daripada kiri dan kanan , atas dan bawah boleh sasau dibuatnya. Masalah atau konflik tidak boleh diselesaikan dengan hanya berfikir namun kita perlu lakukan sesuatu untuk menyelesaikan. Anda perlu memaksa diri untuk berubah barulah anda mampu merubah tanggapan orang pada anda.

1) Raikan Diri Anda 

Apabila menjadi seorang ibu anda perlu menjadi wanita yang sangat kuat. Jika anda tidak kuat, anda perlu pura-pura kuat menghadapi dugaan. Teringat kembali ketika melahirkan anak sakitnya Allah sahaja yang tahu, walaupun berkali-kali mengandung dan bersalin, sakitnya tetap sama. Terlalu takut nak hadapinya kembali. Itu petunjuk Allah,  betapa beratnya beban yang bakal dipikul untuk menjaga dan mendidik anak di dunia kelak. Hadapi hidup dengan tenang dan berpijak di bumi yang nyata. Tidak perlu membandingkan hidup anda dengan wanita bekerja di luar sana. Kelebihan anda, anda tidak terlepas setiap detik perkembangan anak anda, daripada berguling, meniarap, merangkak seterusnya berlari, berceloteh. Nikmati setiap masa anda bersama anak, bermain dan bergelak tawa bersama mereka. Masa yang berlalu tak mungkin dapat dikembalikan walaupun dengan wang yang banyak.

2)  Bina kekuatan dalaman sendiri.

a) Selesaikan semua perkara penting seawal pagi
Tidur awal dan bangun awal, rasai kedinginan waktu pagi yang nyaman. Bancuh secawan kopi, alas perut dengan roti, anda sudah bersedia hadapi hari dengan tenang.

b) Bijak merancang
Tidak semestinya duduk di rumah tidak perlu merancang. Kumpulkan semua resipi sarapan pagi, makan malam, tengahari dan petang. Rancang menu dan senaraikan barang dapur untuk seminggu. Ketahui matlamat anda, matlamat rumahtangga, anak-anak dan suami anda. Buat perancangan daripada sekecil-kecil perkara hingga perkara yang besar. Jadilah fleksible dengan jadual anda. Anda hanya mampu merancang, apatah lagi apabila berhadapan dengan karenah anak.  Catatkan impian anda dan fokus kepadanya setiap hari. Biarkan impian itu tertanam dalam otak dan mempogramkan anda untuk bertindak.

c) Selesaikan masalah dengan ilmu
Surirumah kini lebih bertuah jika dibandingkan zaman dahulu. Ini zaman tanpa sempadan, ilmu mudah diperoleh malah percuma. Tidak seperti dahulu kala, ramai yang mudah dan suka berkongsi pengalaman dan ilmu di dada. Manfaatkan internet dengan baik, carilah ilmu psikologi kanak-kanak, suami, resepi masakan, ilmu agama malah anda boleh mempelajari kemahiran baru daripada internet bukan sahaja bermain facebook.

Nantikan sambungan di bahagian 2 ya..

Belajar asas blog dengan kami di Akademi Bekerja Dari Rumah.
Sewa kereta dengan kami di Sewa MPV dan Hiace















Tiada ulasan:

Catat Ulasan